Thursday, April 17, 2008

Muka Macam Congkak

Let's blog in Malay :)

Pernahkah anda melihat muka orang macam congkak? Bayangkan kulit anda gelap dan kasar seperti kulit pokok, serata muka dipenuhi lubang yang cukup besar untuk mengisi tujuh biji getah... Tontonilah Congkak untuk gambaran yang lebih jelas.

Siapalah yang dapat menjangka bahawa saya sudahpun menonton Congkak, sebuah filem seram tanahair yang baru bermula tayangan pada hari ini.

Sebenarnya, saya amat tertarik dengan filem ini selepas dijamu trailer yang memaparkan aksi-aksi menghalau hantu. Apalagi dengan filem seram buatan Malaysia yang dikatakan semakin matang dari segi penyampaian, dan pada masa yang sama filem Cina dari Hong Kong bertambah buruk.

Ceritanya begini - Kazman dan sekeluarga pergi bercuti di sebuah rumah yang terletak di kawasan perkampungan yang agak terpencil. Setibanya di rumah tersebut, pelbagai peristiwa ganjil berlaku, termasuk anak dirasuk hantu, anak yang seorang lagi syok bermain congkak, terserempak dengan nenek yang nampaknya tidak pernah bertukar baju dan sebagainya. Sehinggalah seorang pakcik yang kebetulannya pandai menghalau hantu datang menyelamatkan ahli keluarga Kazman daripada diculik hantu.

Memang ada kebenarannya. Kualiti filem Congkak bukan sahaja jauh berbeza jika dibandingkan dengan hasil produksi filem tempatan lain, tetapi juga menggabungkan special effects dan adunan bunyi yang cukup berkesan bagi mengejutkan para penonton, terutamanya tangisan hantu yang cukup seram.

Barisan pelakon pula agak memuaskan. Saya berpendapat sedemikian mungkin kerana tidak menaruh harapan yang tinggi sebelum menontonnya. Maklumlah filem buatan Malaysia tidak patut dibanding dengan filem Hollywood.

Bagaimanapun, jalan cerita dan adegan tertentu masih boleh diperbaiki. Ceritanya sebenarnya amat ringkas. Cuma dipanjangkan dengan adegan suspens supaya penonton terkejut secara berterusan. Congkak (dan nenek yang bermuka seperti congkak itu) cuma sebahagian kecil sahaja, padahal keluarga Kazman diganggu oleh pelbagai makhluk halus dengan alasan bahawa rumah tersebut dibina di atas tapak di mana pelbagai upacara pernah dijalankan. Saya kira, upacara ilmu hitam. Ini agak serupa dengan filem seram Thailand "The House".

Ada bahagian-bahagian tertentu yang tiada tujuan atau penjelasan munasabah. Contohnya, Kazman memerlukan panduan ke rumah tersebut dan bertemu dengan seorang makcik. Isteri Kazman kemudiannya mendapati bahawa makcik ini telahpun meninggal dunia dua tahun lepas. Tiada perkembangan langsung berkenaan makcik ini seterusnya. Selain itu, kenapa mereka perlu menghadapi dugaan sebegini? Sebab tak puasa? Sebab tak sembahyang, atapun kerana keluarga ini tidak alim pada agama memandangkan anak-anaknya tidak memakai tudung?

Pada pendapat saya, unsur sebegini perlu diperinci lagi supaya cerita ini dapat diperkembang dan membentuk plot yang lebih mantap. Sekadar memeranjatkan penonton tidak mencukupi. Suspens perlu dibina bukan sahaja dengan penggunaan teknik tertentu, tetapi di dalam cerita tersebut.

Rujukan terbaik yang mengandungi unsur ini tidak lain tidak bukan filem-filem seram dari Thailand seperti Shutter. Bukan sahaja dari segi mutu cerita itu sendiri, tetapi cara penyampaian dan perkembangan plot yang begitu kreatif sekali. Filem seperti ini juga selalunya memberi sudut pandangan yang berlainan dengan perspektif yang wujud di masyarakat kini. Seringkali mencungkil daya pemikiran penonton dan mengganda perasaan ingin tahu sepanjang perjalanan ceritanya, sehinggalah penjelasan yang selalunya mengaitkan beberapa peristiwa dan memberikan penamat yang di luar jangkaan.

Apa yang bijak berkenaan cerita Congkak adalah penggunaan tema yang berkait rapat dengan tradisi masyarakat Melayu Malaysia. Bagaimanapun, seperti yang dikatakan, congkak cumalah sebahagian kecil daripada filem ini. Ada juga adegan atau skrip tertentu yang agak lucu seperti, "Anak aku dah hilang. Bini aku tengah terapung..." said Kazman ketika bercakap dengan bomoh penyelamat.

Selainnya boleh dirumus bagi menyampaikan pengertian bahawa makhluk halus dan penunggu memang wujud. Dalam erti kata lain, mesej dan nilai cerita Congkak boleh diperkemas lagi. Walau apapun, Congkak merupakan suatu hasil yang agak membanggakan. Inilah titik tolak bermulanya peralihan zaman bagi filem seram tempatan.

2 comments:

Anonymous said...

I am not sure about the content of the movie but the poster is absolutely got to improve cause totally cant attract me to see this movie, still long way to go i guess compare to Thai ghost movie. Hope one day Malaysia can produce one movie like " Ghost Station".

Smel P

^^ Pontianak ^^ said...

Malaysia to produce a movie like Ghost Station? No way. To be honest, it will remain as hope. Cicakman and Senario are the best we can achieve.